
"Ustaz,  saya bakal melangsungkan perkahwinan Februari nanti.  Harapnya, dapatlah  saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz  sebagai bekal saya   menempuh bahtera rumah tangga nanti," seorang  sahabat dari seberang laut  bertanyakan nasihat saya.
"Alahai  Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana  nak  jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan  jurang  kami.
"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.
"Kalau  awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di  Kutub   Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah  tangga ni,   susah sikit untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya   cuba  mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya   selepas  ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima,   sebelum  saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.
Bukan alim,  bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang  pernah  saya baca dan  jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya  silibus yang tak  akan ditemui dalam bilik kuliah.
"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.
"Saya  nak membahagiakan isteri saya," jawab  beliau ikhlas. Nada  suaranya  sudah berubah. Sesuai dengan topik yang  sedang kami  bincangkan.  Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah  kedua untuk  mendirikan  ummah yang berpayungkan khilafah.
"Kalau macam tu, senang sahaja.  Pikat hati si dia. Ikatkan dengan  hati awak. Pastikan hidup mati awak  bersama. Bercinta hingga ke syurga,  bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba  mempromosikan produk.
"Nak pikat macam mana tu..? Boleh  dikongsikan sedikit..?" Nada  suaranya semakin ghairah untuk dijamukan  resepi saya. Inilah masanya,  umpan sudah mengena.
"Pertama   sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya  'aku terima   nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang,  kucuplah   matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat  cintakan   si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang    mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu,   ucapkan  juga terima kasih yang tidak terhingga  kerana sudi menerima   awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.
"Aiwah,  romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti,"  galak  suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.
"Lepas   tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri.  Tak perlu   belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang  berkualiti.   Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan  matlamat   serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima  kekurangan  dan  mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa  depan dan  satukan  imaginasi korang berdua."
"Sekali  sekala, adakan surprise untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau  ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih  berharga."
"Satu  lagi, nafkah.  Ini perkara penting yang telah digariskan dalam  syariat  kita. Jangan  lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri  awak  ada  kerjaya."
"Seterusnya,  jangan lupa, bila awak terpaksa  berpisah atau  tinggalkan  si dia sementara waktu, kucup dahi dan  matanya sebelum  tinggalkan rumah  dan selalukanlah untuk utuskan  kata-kata rindu supaya  hatinya sentiasa  subur dengan bunga-bunga  cintanya terhadap awak.  Pastikan kamu sentiasa  menghubunginya setiap  masa. Jangan terlewat  walau sesaat cuma."
"Lebih  penting,  tunjukkan yang si dia lebih penting dari  segala-galanya.  Jangan pula  awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi  si dia sedang  dalam masa  yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan  kondisi Produa  Myvi di  depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan  dalam wasiat yang agak sinis  ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya  tangkap di hujung talian.
"Jangan   lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya.  Bimbang si   dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan  kedekut   untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."
"Huih,   banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power,  macam dah   bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat  ni," Azman   semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap    sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan    idea.
"Ye,  ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah  ada cahaya  mata  nanti, cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk  isteri  dan  separuh untuk anak-anak.  So, jangan lupa untuk ungkapkan   penghargaan  yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga  selepas  bersalin.  Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia  untuk  terus menempuh  saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses   melahirkan bayi. Saya  ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.
"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.
"Ok,   resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran   anak-anak,  hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang   berkorban 9  bulan mengandungkan anak-anak."
"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.
"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.
"Hai,  saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang  berdegup,   janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh  strok saya   jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan  lagi.
"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.
"Kalau  awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang  orang  suka  mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya  boleh  sambung," nada suara saya mendatar.
"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.
"Resepi  ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati  yang  separuh mati. Mengesat  air mata yang tak nampak alirannya.  Meredakan  pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar  ke?" Nada  saya bertukar sedikit serius.
"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.
"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.
"Belum," ringkas juga jawapan Azman.
"Kucupi   dahi  ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu  yang  berkorban 9  bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan   bersabung nyawa  melahirkan kita. Mengasihi kita tanpa sebarang syarat   ataupun mahar  mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita   kucup sebelum kita  kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa   bulan."
"Pernah awak  berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan  dan matlamat  hidup  dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja  dengan ibu? Kalau  belum,  honeymoon dulu dengan ibu awak.  Kelak nanti, hatinya  tidak begitu remuk  melihat bahagianya bulan madu  kita bersama isteri  dengan melupakan jasa  ibu yang pernah meletakkan  seluruh hidupnya untuk  kebahagiaan kita.  Bahagianya honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di  desa sana."
"Pernah  awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu  yang  sepanjang  hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum  diungkapkan,   segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri  yang sudi   menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama)  menerima  ucapan itu."
"Pernah  surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum,  surprisekan   dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga.  Ibu  itu   pastinya sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."
"Sewaktu  kita  mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri,  fikirkan juga  nafkah  dan belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di  desa sana. Ibu  itu telah  membesarkan kita tanpa sebarang upah mahupun  bayaran. Ye,  duit yang kita  akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap  kasih  sayang mereka, tapi  ianya menjadi tanda yang kita juga masih   mengingati malah menyayangi  mereka."
"Man, saya yakin, mak awak  sangat sunyi waktu ini. Saban detik,  telinganya  pasti ingin mendengar  deringan dari seberang laut. Pasti  matanya selalu  menatap potret awak  yang digantung atau yang terselit di  celah dompet.  Hubungilah ibu awak  sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak  seminggu  sekali, pastikan dalam  sebulan, khabar awak sampai kepada mak  yang  jauh di kampung."
"Man,   kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu  untuk   memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati  yang  akan  terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."
Gelak   ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang  kini   berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana  hening   seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang    seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.
"Saya  tak berniat  untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi,  saya yakin  dengan  sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia.  Ummat ini akan  lebih  berbahagia."
"Saya  yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim  (keluarga Islam)  tidak akan sempurna tanpa  sempurnanya Individu  Muslim. Bagitulah juga,  Masyarakat Muslim tidak  akan lahir dari  Bait  Muslim yang tempang.  Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat   yang tidak stabil.  Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin,  tarbiah  yang awak lalui  telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu  Muslim) yang baik. Tinggal   lagi, Allah akan mendidik awak untuk  melahirkan Bait Muslim yang baik.   Adikku Azman, inilah jalannya."
"Go home and love your  family."
Jawapan   Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk   mempromosikan  keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau   menerima Hadiah  Nobel Keamanan pada tahun 1979.
"Sebaik-baik   kamu adalah oran yang paling baik hubungannya  dengan ahli  keluarganya.  Dan aku adalah orang yang paling baik untuk  keluargaku." - Hadis
Pastikan   perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan  sejuta jiwa.   Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.
Mulailah   dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak  kita. Dari   masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga  payung   khilafah akan menaungi kita kelak.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." - Al-Quran
Note : Artikel iluvislam
Aishah Abdullah
 Memikat Hati SiDia