April 28, 2015

Mudahnya Menjemput Rezeki



Sinopsis Buku “Mudahnya Menjemput Rezeki”

Tahukah anda untuk mendapat rezeki sememangnya sangat mudah apabila kena caranya? Malah, sumber datangnya tidak disangka-sangka. Mudahnya Menjemput Rezeki merungkai rahsia mudah untuk mendapat rezeki. Ia dikongsi oleh penulis yang telah mengalami ‘peristiwa mendapat rezeki’ daripada Maha Pemberi Rezeki dengan mekanisme yang tertentu. Ikutilah rahsianya!

“Menjemput rezeki adalah satu bentuk amalan paling beradab dalam mendapatkan kekayaan. Menjemput jauh berbeza dengan mencari, memburu, merebut, apatah lagi merampas, memeras atau memanipulasikan. Jika kita berniaga dengan orentasi menjemput rezeki, pastilah Allah SWT redha dan manusia senang dengan perniagaan kita.”

“Ada pula janji menarik daripada Allah bagaimana untuk menambah rezeki. Bukan itu sahaja, malah diberi pula formula bagaimana supaya rezeki yang sudah berada di tangan boleh terus berkembang. Bukan sekadar itu, Allah berikan lagi formula bagaimana supaya rezeki yang sudah berkembang dan bertambah banyak tidak pula musnah.”

“Ilmu telah mengubah cara kita melakukan kerja. Dengan ilmu, kerja menjadi mudah dan ringan. Ilmu juga adalah rezeki dari Allah SWT. Contohnya dengan akal manusia berfikir bagaimana untuk membawa air di luar rumah masuk ke dalam rumah. Sehingga pada hari ini, dengan hanya memulas kepala paip sahaja sudah boleh mendapat air bersih. Orang beriman yakin rezeki itu daripada Allah SWT. Sedang orang tidak beriman yakin rezeki itu daripada usahanya. Hakikatya dalam dunia ini, tiada yang mudah. Sesuatu perkara menjadi mudah apabila kita berilmu.

Nabi bersabda:

“jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi medapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya (Riwayat Ibnu Hibban)

Firman Allah SWT:

"Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang di janjikan kepadamu. Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar
 (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan." (Adz-Dzariyat 51:22-23)

Note : Saya percaya dan rasa sangat yakin, dengan membaca buku ini, kita sudah menemukan kunci bagaimana untuk keluar daripada kesulitan hidup khususnya perihal rezeki. Buku ini bakal membuka mata, minda dan mengubah persepsi anda mengenai ‘rezeki’ anda selama ini..

August 21, 2014

Penyakit Angin Pasang


Apakah penyakit angin pasang atau inguinal hernia?

Kita kerap mendengar kes kes angin pasang berlaku pada orang dewasa dan kanak kanak. Kes angin pasang kanak kanak berlaku dengan kekerapan 3 – 5 kes dari setiap 100 kelahiran, atau bersamaan 3- 5%. Ia lebih kerap berlaku untuk anak lelaki berbanding perempuan dan 60% daripadanya berlaku pada bahagian kanan inguinal berbanding bahagian kiri. 10-15% kes melibatkan kedua dua belah (bilateral). Kes kes angin pasang lebih kerap berlaku pada anak-anak yang dilahirkan pramatang dengan kadar 40-55% disebabkan proses perkembangan bayi yang masih belum sempurna.

Apakah penyebab penyakit ini terjadi?

Sewaktu janin terbentuk, untuk bayi lelaki, testis awalnya berada pada aras yang sama dengan ginjal. Organ testis akan bergerak ke arah kantung zakar mengikut panduan struktur Gubernaculum dan di bawah pengaruh beberapa hormon. Pergerakan testis ini terbahagi kepada 2 fasa iaitu fasa abdomen dan keduanya adalah fasa inguinal. Apabila struktur gubernaculum tiba di kawasan inguinal, ia akan melalui dan menarik selaput peritoneum yang kemudiannya di kenali sebagai selaput processus vaginalis. 

Selaput processus Vaginalis secara amnya akan mengecut dan tertutup dengan sendiri ketika umur bayi berada pada 36-40minggu dalam kandungan. Kegagalan selaput ini untuk mengecut dan tertutup dengan menyebabkan adanya saluran yang berhubung antara kawasan abdomen dan kantung zakar. Jika lubang kepada saluran ini halus, maka hanya unsur seperti air yang boleh melaluinya. Keadaan ini dikenali sebagai hydrocoele.

Walaubagaimanapun, jika lubang pada selaput tersebut adalah besar, (keadaan angin pasang @ Inguinal Hernia) struktur seperti usus, kilang ovary dan pundi kencing mempunyai potensi untuk masuk ke dalam selaput ini dan tersumbat.

Apakah simptom simptom yang lazim untuk penyakit ini?

Simptom awal
a) kawasan ari-ari (inguinal) dan / atau kantung zakar yang bengkak.
b) kawasan bengkak biasa berlaku ketika anak menangis, berlari atau meneran dan bengkak tersebut boleh kekal atau surut selepas aktiviti terbabit.

Simptom kronik
a) bengkak yang tidak surut disertai dengan keadaan anak yang dalam tidak selesa dan dalam kesakitan.
b) perut kembung disusuli episod muntah- muntah.

Bawalah anak anda untuk berjumpa dengan doktor sekiranya mereka mempunyai simptom tersebut.

Nukilan
Doktor Budak